

Cinta, Dendam, Impian
31 Okt & 1 Nov 2026 · 8.00pm
Dewan Astaka UMPSA, Gambang
RM30 Premium · RM15 Early Bird · RM20 General
Penulis Skrip: Khairunazwan Rodzy
Sebuah puisi yang bertukar menjadi luka
Sekuntum Mawar Merah ialah sebuah naskhah teater muzikal yang menganyam tema cinta, dendam, dan kemaafan.
Kisah berpusat pada kehidupan Mawar, seorang wanita jelita yang diasuh menjadi primadona anggun dan menarik perhatian ramai di dunia malam. Di sebalik tirai kelab hiburan tempat dia melontarkan suaranya, hadir Rashid—seorang pemuda berbakat yang berhijrah demi mengubati takdir keluarganya. Keikhlasan hati Rashid terzahir apabila dia menggubah sebuah lagu dan puisi bertajuk Sekuntum Mawar Merah khas buat Mawar, mendedahkan ikatan cinta yang suci di tengah-tengah dunia yang penuh dugaan dan kuasa-kuasa rakus.
Namun, di sebalik keindahan persona Mawar dan alunan lagu tersebut, tersembunyi rahsia duka serta takdir silam yang menuntut keadilan. Mengimbau perjalanan dari era 1980-an hingga 2000-an, naskhah ini memperlihatkan bagaimana setiap watak cuba melepaskan diri daripada bayangan masa lalu, mencari makna ketaubatan, serta berdepan dengan akibat daripada setiap keputusan hidup yang telah dibuat.

Waris membawakan naskhah tulisan Khairunazwan Rodzy — sebuah teks yang menjadi tulang belakang pementasan ini.
Khairunazwan Rodzy ialah penggiat seni, pengarah, penulis dan pendidik teater yang telah berkecimpung dalam dunia seni persembahan lebih 20 tahun. Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Teater ASWARA, beliau kini merupakan CEO dan Pengarah Artistik Revolution Stage. Beliau aktif mengarah serta menulis karya teater, televisyen dan filem, selain menjadi acting coach, jurulatih, juri dan pensyarah sambilan. Antara pencapaian pentingnya termasuk Anugerah Pengarah Terbaik serta Anugerah Teater Terbaik, di samping mengasaskan pelbagai inisiatif pembangunan bakat dan teater indie di Malaysia kepada generasi muda.
Sekuntum Mawar Merah tumbuh daripada luka, mekar dengan impian dan menyimpan dendam pada durinya. Di pentas ini, keindahan dan kesakitan bernafas bersama. Penonton bakal merasai setiap getarnya, lalu pulang dengan satu renungan: berapa banyak cinta yang harus menjadi korban apabila luka terus diwariskan?

Fendi Shah ialah pengarah teater, pereka sinografi dan pereka pencahayaan dengan pengalaman 12 tahun (2014–2026). Beliau meraih Pengarah Terbaik dan Sinografi Terbaik menerusi Asrama-ra di Festival Teater Pahang 2017. Pementasan itu turut meraih tempat kedua di Festival Teater Malaysia 2018. Kepakaran sinografinya juga diiktiraf menerusi Kurung (2019) dan Ratna Khadal (2026).
Penerbit utama naskhah ini
Waris Theatre memegang naskhah ini sebagai penerbit utama, membawakan tulisan Khairunazwan Rodzy ke pentas bersama dua rakan kolaborasi.
Waris Theatre merupakan badan kebudayaan mahasiswa yang ditubuhkan pada tahun 2011 di bawah naungan Pusat Kebudayaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA). Penubuhan kelab ini bertujuan untuk menyediakan platform rasmi bagi mahasiswa menceburi bidang seni persembahan, teater, dan warisan budaya, di samping mengasah bakat serta membangunkan kemahiran insaniah melalui pelbagai pementasan dan aktiviti kesenian. Pencapaian ini terbukti berharga apabila Waris Theatre berjaya mengharumkan nama universiti dengan menyertai Festival Teater Zon Timur pada Ogos 2026 dan meraih tempat kedua dalam pertandingan tersebut.
Pelan tempat duduk dan harga tiket

Satu malam, satu kuntum
31 Okt & 1 Nov 2026 · 8.00pm · Dewan Astaka UMPSA, Gambang